Translate

Isnin, 8 Februari 2021

Konsep berusia 1000 tahun jadi kunci kejayaan mereka...

Pengalaman hidup tidak kira yang manis atau pahit akan menjadi bermakna jika kita mengambil pengajaran darinya.

Ada pengalaman yang baik menjadikan kita lebih matang dan boleh dikongsikan kepada orang lain untuk manfaat bersama.


Begitu juga pengalaman yang buruk. Kita tidak mahu sesiapapun mengalaminya dan mahu agar mereka tidak merasai pengalaman itu.


Kadang-kadang kita terlalu leka dengan keselesaan kita hingga kita lupa apakah impian kita selama ini.


Dulu mungkin kita mempunyai 1001 impian tetapi ianya semakin pudar mungkin disebabkan kita leka, tidak bersemangat, tiada dorongan atau berasa begitu selesa dengan keadaan yang ada sehingga kita rasa tidak perlu berubah.


Ada juga yang mungkin pernah berusaha untuk mencapai impian tersebut, tetapi oleh kerana tidak mempunyai matlamat yang jelas serta usaha yang tidak cukup menjadikannya terkubur juga.


Lagi dan lagi kita melihat di depan mata kita, sama kita sedar ataupun tidak; apabila kita melihat bagaimana orang lain seperti mudah sahaja mengapai kecemerlangan dalam hidup, adakah kita terus mencari bagaimanakah mereka boleh melakukannya?


Sebenarnya, tidak ada rahsia pun.


Kerana jika kita pelajari, sebenarnya mereka yang sukses ini mempunyai niat yang betul dalam usaha mereka.


Jika kita tidak mempunyai niat yang betul dari awal lagi menjadikan kita akan mudah tersekat di tengah jalan atau kemungkinan besar kita tidak akan mencapai apa yang kita sasarkan sebelum ini.


Jadi apakah yang menjadikan mereka beroleh kejayaan yang besar?


Jawabannya adalah, mereka berpegang dengan konsep seperti dalam mahfum hadis Nabi s.a.w, sabda Baginda,


"Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada ramai orang"


Cukup sahaja bila kita berpegang teguh dengan konsep ini dengan yakin, ianya boleh menjadi modal untuk kita maju dalam apa bidang sekalipun. Ini sudah terbukti dengan begitu banyak sekali.


Bunyinya begitu mudah tetapi itulah realitinya.


Terus, bagaimana kita nak bermula?


Semuanya bermula pada diri kita. Kita kena betulkan semula niat kita untuk apakah impian yang kita ingin bina selama ini.


Pastikan tujuaan utamanya adalah untuk membantu, bukan untuk menjadi kaya semata-mata, mahu senang lenang tanpa fikirkan nasib orang lain dan kalau kita yang sudah mula berniaga kita betulkan semula niat untuk bantu pelanggan kita dengan sungguh-sungguh.


Jangan buat sekadar seperti melepas batuk di tangga.


Bila niat yang di dalam hati ini diluruskan semula maka dari detik itulah pintu rahmat itu akan terbuka dengan luas. Kita akan menjadi lebih tenang dan gembira kerana selepas ini kita yakin, bahawa barangsiapa yang membantu pasti akan dibantu.


Bukankah itu sifir kejayaan atau sifir alam ini?


Selagi mana kita menambah nilai hidup seseorang, maka selagi itulah kita akan meraih ganjarannya. Yakinlah.


Pepatah Inggeris juga ada berbunyi, 'the more you give, the more you get back' bukan? (semakin banyak anda memberi, semakin banyak yang anda dapat)

Pada mulanya mungkin kita rasa berat untuk menerima konsep ini, tetapi cubalah dengan apa yang anda mampu, mula dari kecil. Mungkin dengan sedekah kepada mereka yang memerlukan setiap hari.


Kita juga kena ingat, setiap perkara itu akan membuahkan hasil jika kita terus istiqamah atau konsisten. Jangan dengar segala bisikan yang sentiasa menghasut kita dari dulu lagi, kerana semua itu tidak benar dan tidak mambantu kita sebesar habuk pun.


Oleh itu, mulalah hari ini, sama-sama kita terus betulkan niat kita setiap kali kita nak melakukan sesuatu dan semoga anda peka nanti akan hasilnya walaupun sekecil-kecil perubahan yang diperoleh!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa pendapat anda?

Cari Kandungan Blog